Kesihatan dan pendidikan tumpuan perbahasan belanjawan 2026 hari pertama

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan kesihatan dan pendidikan menjadi antara tumpuan hari pertama perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Datuk Mohd Shahar Abdullah menyarankan kerajaan mempertimbangkan penubuhan Insurans Kesihatan dan Sosial Nasional untuk menyediakan dana pelengkap bagi penjagaan kesihatan rakyat.

Beliau berkata tahap perlindungan insurans dan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah terutama dalam kalangan golongan B40 dan warga emas.

“Saya turut bimbang dengan situasi hanya 54% rakyat memiliki perlindungan insurans hayat atau takaful menurut Bank Negara Malaysia.”

“Golongan B40 dan warga emas pula ramai tidak dilindungi sama ada kerana premium tinggi atau pendapatan terhad.”

“Akibatnya jutaan rakyat masih bergantung sepenuhnya kepada sistem kesihatan awam yang kian terbeban,” katanya.

Mohd Shahar berkata penyakit tidak berjangkit menyumbang 70% beban penyakit dan 67% kematian pramatang dengan prevalens meningkat kepada 38.1% pada 2019 menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin menekankan keperluan memperkukuh integrasi antara institusi latihan dan industri dalam pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.

Mengulas peningkatan peruntukan TVET bagi 2026 kepada RM7.9 billion beliau berkata keperluan mewujudkan integrasi dan strategi yang kukuh antara industri dan institusi latihan bagi menjadikan TVET sebagai arus perdana dalam pembangunan ekonomi negara.

Justeru Hamzah berkata Perikatan Nasional mencadangkan supaya mahasiswa diberi peluang menjejak kaki ke dunia industri semasa di pengajian tinggi bagi memastikan mereka melangkah ke pasaran kerja dengan keyakinan berpaksikan kemahiran sebenar.

Ahmad Johnie Zawawi pula menyarankan Kementerian Pendidikan melaksanakan Pelan Induk Sekolah Daif 2030 dengan sasaran 100 sekolah dibaik pulih dan dibina semula setiap tahun.

Beliau berkata setakat Julai lepas terdapat 555 sekolah daif di Sarawak merangkumi 361 sekolah berada pada tahap enam iaitu tidak sesuai untuk digunakan dan 194 sekolah pada skala tujuh yang tidak selamat digunakan.

Persidangan bersambung esok. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *