KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi mengingatkan semua institusi pengajian tinggi supaya mengambil langkah yang perlu bagi mengelak sebarang kemungkinan penularan penyakit influenza dalam kalangan mahasiswa.
Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pihaknya belum menerima sebarang maklumat tentang penularan penyakit berkenaan di IPT setakat ini.
Kementerian tidak memandang ringan perkara itu dan sedang memantau perkembangan situasi dengan rapi.
Laporan terkini menyatakan beberapa sekolah di beberapa buah negeri telah diarahkan ditutup sementara oleh Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.
Seramai 6,000 murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dilaporkan telah dijangkiti penyakit itu setakat ini.
“Seperti yang kita sedia maklum penyakit ini mungkin melibatkan peringkat sekolah, tetapi kita juga tidak mengambil mudah perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan International Young Future Leaders Summit 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi 40/2025.
Ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding 14 kluster pada minggu sebelumnya dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.
Semua negeri mencatatkan peningkatan kes dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor, dan Kedah.
Kebanyakan kes menunjukkan simptom ringan menurut kenyataan Kementerian Kesihatan.
Mengulas mengenai program iFUTURE, Zambry berkata pendekatan seumpama itu merupakan usaha KPT dalam membina nilai-nilai kepimpinan dalam kalangan pelajar universiti.
Program tersebut memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dalam konteks antarabangsa bersama rakan-rakan dari 50 buah negara.
“Mereka dapat berinteraksi dalam tempoh tiga hari ini, mengenali antara satu sama lain.”
“Inilah pendekatan sebenarnya yang mempunyai impak yang besar untuk jangka panjang, kerana satu hari nanti mereka ini juga akan menjadi pemimpin di negara masing-masing,” katanya. – Bernama