Anwar akan bincang akses darat hantar bantuan Gaza dengan Presiden Mesir

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi dalam beberapa hari lagi bagi membincangkan usaha memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui darat menerusi lintasan Rafah.

Beliau berkata cadangan itu merupakan sebahagian daripada langkah bagi memastikan kelancaran pergerakan pasukan Malaysia di bawah Misi Sumud Nusantara.

Misi tersebut bekerjasama dengan rakan serantau untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin yang terjejas akibat kemusnahan berterusan di Gaza.

“Kita menghargai Presiden el-Sisi, Qatar, Mesir serta semua negara yang menyokong inisiatif keamanan.”

“Kini keadaan telah reda, kita berharap akses dapat diberikan kepada pasukan kita.”

“Saya berharap dapat berhubung dengan Presiden Abdel Fattah el-Sisi dalam beberapa hari lagi untuk mencadangkan supaya pasukan kita dibenarkan melalui Mesir ke Rafah bagi meneruskan misi bantuan,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa sesi ‘In Conversation with Prime Minister’ yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *