40,000 keluarga India di Johor terima bakul makanan Deepavali

JOHOR BAHRU: Seramai 40,000 keluarga masyarakat India di seluruh Johor akan menerima bakul makanan sempena sambutan Deepavali tahun ini sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan inisiatif julung kali ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri memastikan kebajikan masyarakat India terus terpelihara.

Beliau mengumumkan setiap keluarga India di Johor akan mendapat bakul makanan sempena Deepavali sebagai tanda kasih sayang kerajaan negeri.

Inisiatif ini turut menggambarkan semangat perpaduan dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap semua kaum di bawah semangat Bangsa Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri K. Raven Kumar berkata keseluruhan 40,000 bakul makanan bernilai kira-kira RM4.9 juta akan diagihkan kepada keluarga India berpendapatan rendah.

Sebanyak 40,000 bakul makanan tersebut diagihkan di seluruh daerah negeri dengan penyerahan bermula minggu ini.

Setiap bakul bernilai kira-kira RM100 mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung, sardin serta rempah kari khas.

Pengagihan bakul makanan dibuat menerusi 56 pusat khidmat masyarakat di seluruh negeri dan dijangka selesai sepenuhnya minggu ini.

Menteri Besar turut meluangkan masa beramah mesra dan menyantuni peniaga serta komuniti setempat di karnival bazaar Deepavali. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *