UPSI lokasi pertama latihan PLKN peringkat IPTA mulai pertengahan 2025

KUALA LUMPUR: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi universiti pertama melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bermula pertengahan tahun hadapan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Mej Jen (B) Datuk Ya’cob Samiran berkata program itu akan diperluaskan ke masing-masing tiga politeknik dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara pada tahun depan.

Pelaksanaan program itu adalah susulan peruntukan RM250 juta melalui Belanjawan 2026 bagi program rintis pada peringkat pendidikan tinggi sebelum diperluaskan ke semua IPTA pada 2027.

“Kita akan mulakan di UPSI tahun depan mungkin pada Jun atau Julai,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Latihan Menembak Pelatih Wanita PLKN 3.0 Siri 3/2025 di Kem Perdana Sungai Besi.

Ya’cob berkata modul latihan PLKN juga akan dijadikan mata pelajaran wajib pelajar baharu di IPTA.

“Pelajar universiti dengan pengambilan bermula tahun hadapan atau lahir selepas 2008 wajib menjalani latihan ini sebagai sebahagian daripada mata pelajaran wajib, terutamanya subjek kenegaraan.”

“Namun bagi pelajar yang sudah mengikuti program seperti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau program berkaitan ketenteraan lain, mereka tidak perlu mengambil modul latihan asas ketenteraan,“ katanya.

PLKN 3.0 memberi tumpuan kepada tiga modul melibatkan kenegaraan, kepimpinan dan asas ketenteraan bagi membentuk jati diri serta semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

“Modul kali ini menekankan semangat kenegaraan, kepimpinan dan asas ketenteraan supaya pelatih memahami peranan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab.”

Siri pertama PLKN 3.0 bagi 2026 bermula Januari hingga awal Mac melibatkan pelatih berumur antara 17 hingga 25 tahun dipilih melalui sistem komputer atau secara sukarela.

Sebelas kem PLKN akan beroperasi di seluruh negara tahun hadapan termasuk kem baharu di Kem Syed Sirajuddin Gemas, Negeri Sembilan manakala dua lagi pada 2027. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *