CYBERJAYA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendedahkan satu daripada lima individu yang terkesan akibat bencana atau konflik menghadapi masalah kesihatan mental termasuk kemurungan, keresahan dan trauma.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sembilan peratus lagi mengalami gangguan mental sederhana sehingga teruk yang memerlukan rawatan profesional.
Beliau memetik data WHO itu dengan menyatakan Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran kesihatan mental pasca bencana.
“Kita melihat bagaimana konflik yang berpanjangan di Palestin memberikan kesan trauma mendalam kepada mangsa perang, terutamanya kanak-kanak dan keluarga,“ katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kesihatan Mental Peringkat Kebangsaan 2025.
Tema sambutan tahun ini ialah “Akses Kepada Perkhidmatan: Kesihatan Mental Dalam Krisis dan Bencana” yang memfokuskan usaha memastikan kebolehcapaian akses kepada perkhidmatan kesihatan mental dalam situasi kecemasan.
Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan menyediakan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial sebagai satu daripada komponen respons bencana kebangsaan.
Sejak 2018, KKM bersama dengan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun telah melatih pegawai pelbagai profesion dalam intervensi psikologi semasa bencana.
Hasil usaha ini, Malaysia kini mempunyai 256 pasukan MHPSS dengan 3,676 anggota terlatih di setiap daerah di seluruh negara yang bersedia digerakkan dalam sebarang operasi bencana.
Semasa pandemik COVID-19, KKM menubuhkan Talian HEAL15555 sebagai talian bantuan krisis kesihatan mental.
Talian itu terus beroperasi setiap hari serta menjadi antara akses bantuan psikologi paling penting kepada rakyat.
Komitmen kerajaan dalam menangani krisis kesihatan mental juga terzahir di bawah Belanjawan 2026 apabila Program K-MindSET diperkenalkan.
Program Komuniti Minda Sejahtera itu bertujuan memperluas literasi kesihatan mental dan memupuk daya tahan psikologi dalam kalangan rakyat.
Sebanyak RM21.6 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan MADANI kepada agenda kesihatan mental nasional.
Peruntukan ini membuktikan komitmen kerajaan dalam merakyatkan kesihatan mental bukan hanya tertumpu kepada hospital dan klinik kesihatan sahaja.
Inisiatif kerajaan meliputi penjagaan kesihatan mental di tempat kerja dan dalam komuniti itu sendiri. – Bernama