Salun disimbah cat merah di Johor Bahru, rugi RM15,000

JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan sebuah salun di pusat beli-belah di sini mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas disimbah cat merah semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata pihaknya menerima laporan daripada pekerja premis berkenaan pada 1.33 tengah hari.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 11.50 pagi ketika pengadu sedang bekerja.

Dua orang suspek tiba-tiba datang dan membaling plastik berisi cat merah ke dalam premis berkenaan.

“Simbahan cat merah terkena pada perabot serta seorang pelanggan yang turut berada di dalam salun,“ katanya.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dengan anggaran kerugian berjumlah RM15,000.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *