PATTANI: Kerajaan Thailand di bawah pimpinan Perdana Menteri baharu Anutin Charnvirakul komited mencari penyelesaian berkekalan untuk menamatkan konflik di selatan Thailand.
Anutin yang dipilih sebagai Perdana Menteri ke-32 Thailand yakin rundingan merupakan pendekatan terbaik dan berkesan untuk mewujudkan keamanan di selatan Thailand.
Beliau menyatakan Kementerian Luar, Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri, Polis dan Majlis Keselamatan Negara Thailand akan terlibat dalam rundingan yang bakal diadakan.
Malaysia berperanan sebagai pemudah cara bagi proses rundingan damai tersebut.
Bekas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohd Rabin Basir dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand berkuat kuasa 1 Julai lepas.
Kerajaan Thailand melantik bekas Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Jeneral Somsak Rungsita sebagai ketua delegasi rundingan damai dengan Barisan Revolusi Nasional.
Proses rundingan damai itu bertujuan mencari penyelesaian untuk menamatkan konflik di wilayah selatan Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla. – Bernama