Pulau Pinang pantau rapi influenza, situasi masih terkawal – Exco

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi jaminan bahawa situasi jangkitan influenza di negeri itu masih terkawal meskipun pemantauan berterusan terus dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata sehingga Minggu Epid 40 tahun ini, sebanyak 18 kluster influenza direkodkan.

“Ini menurun satu kluster berbanding 19 kluster bagi tempoh sama tahun lepas,“ katanya kepada pemberita pada Program Mental Health Matters di Universiti Sains Malaysia hari ini.

Beliau menekankan bahawa situasi ini tetap perlu dipantau secara rapi susulan peningkatan beberapa kluster di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan mendedahkan sebanyak 97 kluster influenza melibatkan influenza A dan B direkodkan di seluruh negara pada ME 40/2025.

Ini meningkat berbanding hanya 14 kluster pada ME 39/2025 menurut kementerian tersebut.

Pulau Pinang disenaraikan antara lima negeri tertinggi merekodkan peningkatan dengan 10 kluster.

Selangor paling tinggi dengan 43 kluster diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Johor (9) dan Kedah (5).

Menurut Gooi trend peningkatan kes influenza pada penghujung tahun merupakan pola bermusim dan bukan sesuatu yang luar biasa.

Beliau menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa agar tidak panik sebaliknya memberi perhatian kepada langkah pencegahan.

“Influenza bukan seperti COVID-19. Ia boleh dikawal. Jika anak menunjukkan gejala seperti demam, segera bawa ke fasiliti kesihatan berhampiran,“ tegasnya.

Vaksin influenza percuma turut disediakan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi.

Golongan berisiko digalakkan mengambil suntikan sebagai langkah perlindungan menurutnya.

Mengenai pemakaian pelitup muka, Gooi berkata ia tidak diwajibkan tetapi disarankan bagi individu bergejala.

“Jika anda tidak sihat, pakailah pelitup muka demi melindungi orang lain. Paling penting, jangan panik tetapi ambil langkah pencegahan sewajarnya,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *