Program Jelajah Wira LTat wadah penting fahami keperluan warga ATM

SUNGAI PETANI: Program Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjadi wadah penting bagi LTAT mendekati pencarum, memahami keperluan mereka serta memperkukuh hubungan berasaskan kepercayaan dan tanggungjawab bersama.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebagai institusi penting yang menguruskan dana persaraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), LTAT memainkan peranan besar bukan sahaja dalam menjamin masa depan kewangan pencarum tetapi juga memperkukuh kesejahteraan mereka dan keluarga.

Beliau menyatakan beberapa inisiatif telah dilancar dan dilaksanakan termasuk inisiatif Sekolah Angkat MADANI, Penyelesaian Kewangan AFFIN PERKASA dan Program Royale Warisan yang menawarkan pelbagai manfaat kepada warga ATM dan keluarga mereka.

Mohamed Khaled berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas merasmikan Jelajah Wira LTAT 2025: Edisi Utara di Kem Lapangan Terbang di sini.

Beliau turut berkongsi mengenai Belanjawan MADANI 2026 yang memperlihatkan komitmen kerajaan terhadap pertahanan dengan peruntukan RM21.7 billion.

Peruntukan itu termasuk RM6 billion bagi perolehan aset baharu dan RM844 juta dalam aspek perumahan anggota.

Mohamed Khaled menegaskan usaha ini mencerminkan tekad kerajaan membina Angkatan Masa Hadapan yang moden, berkeupayaan tinggi dan bersedia menghadapi ancaman pelbagai dimensi.

Beliau menekankan kerajaan mengiktiraf warga pertahanan sebagai tulang belakang kepada keamanan dan kemakmuran negara.

Dalam rangka lawatan ke Kem Lapangan Terbang hari ini, Mohamed Khaled berpeluang meninjau pelaksanaan program Sekolah Angkat MADANI Pharmaniaga di Sekolah Kebangsaan Kem Lapangan Terbang.

Beliau menjelaskan program hasil cetusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan dan kebajikan sekolah termasuk dalam kem melalui penglibatan syarikat berkaitan kerajaan, agensi kerajaan dan sektor swasta.

Antara projek yang dilaksanakan di sekolah tersebut termasuk Skylert Studio (Studio Hijau Digital) yang membina kemahiran digital dan kreativiti pelajar.

Turut dilaksanakan ialah projek Remote Control Jet yang membantu mereka menguasai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara amali.

Mohamed Khaled menyatakan inisiatif bernilai sekitar RM50,000 ini menzahirkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menyediakan peluang pendidikan yang relevan dengan kemahiran abad ini.

Beliau menambah program ini melahirkan generasi muda yang inovatif, berdaya saing dan mampu mencorak masa depan negara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *