PM hadir majlis rumah terbuka Deepavali MADANI 18 Oktober di KL Sentral

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI Peringkat Kebangsaan 2025 di Lot F, KL Sentral pada 18 Oktober ini.

Menteri Digital Gobind Singh Deo menyatakan majlis tersebut akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

“Majlis ini ialah peluang untuk kita semua menyambut Deepavali sebagai satu keluarga besar Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau mengundang seluruh rakyat Malaysia untuk hadir bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Deepavali MADANI tahun ini.

Gobind berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri Forum Menteri: Kesan Kecerdasan Buatan terhadap Tenaga Kerja Masa Hadapan bersempena International Young Future Leaders Summit 2025.

Kehadiran Perdana Menteri akan menyerikan lagi acara yang menjadi simbol perpaduan dan keterangkuman masyarakat majmuk di Malaysia.

Perayaan Deepavali akan disambut secara rasmi pada 20 Oktober. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *