REMBU: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat menyertai misi kemanusiaan ke Gaza supaya berkoordinasi dengan Kementerian Luar terlebih dahulu.
Beliau berkata langkah ini bagi memastikan penghantaran bantuan berjalan lancar dan selamat.
Mohamad menjelaskan Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Mesir dan Jordan yang memudahkan urusan penghantaran bantuan.
“Bagi NGO atau individu yang mempunyai semangat tinggi untuk membantu rakyat Gaza yang tertindas, saya ucapkan terima kasih,“ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pelajaran dan Deepavali di sini pada Ahad.
“Namun, jika nak hantar bantuan, elok kita buat gabungan dan bukan ‘bersepah-sepah’ atau secara individu.”
Beliau menegaskan NGO perlu memberitahu Wisma Putra sebelum penghantaran bantuan bagi memudahkan urusan dengan pihak berkuasa Mesir dan Jordan.
Mohamad menambah terdapat beberapa NGO Malaysia telah lama beroperasi di rantau ini termasuk Sumud Nusantara.
Mengenai pelan damai Gaza, Mohamad berkata Malaysia menyambut baik keputusan Hamas yang bersetuju dengan cadangan itu.
Beliau menyifatkan ia sebagai “tingkap kecil” bagi penyaluran bantuan kemanusiaan meskipun 20 perkara dibentangkan lebih berpihak kepada Israel.
“Jika Hamas tidak terima cadangan itu, saya nampak tidak ada peluang lagi untuk rakyat Gaza mendapat bantuan antarabangsa,“ katanya.
Mohamad berkata Malaysia akan terus mendesak PBB supaya segera mengadakan sidang tergempar bagi memastikan penubuhan Palestin yang merdeka.
Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, beliau menegaskan Malaysia sebagai pengerusi tidak boleh membuat keputusan bersendirian mengenai jemputan.
“Yang menjadi perbualan utama sekarang adalah kehadiran Trump,“ katanya.
Beliau berkata kehadiran Trump memberikan ruang untuk berbincang secara terus perkara yang mendatangkan faedah kepada Malaysia.
“Pada masa yang sama, kita mahu memastikan tekanan masyarakat antarabangsa terhadap Israel diteruskan,“ tambahnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadualkan pada hujung bulan ini di Kuala Lumpur. – Bernama