PAPAR: Projek pembinaan Loji Rawatan Air Kogopon II kini mencapai 52% dan dijadualkan siap tahun hadapan, dijangka mampu menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata biarpun berdepan cabaran faktor cuaca seperti hujan lebat dan runtuhan, proses pembinaannya berjalan mengikut jadual.
“Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan projek tersebut disiapkan pada tahun depan, seperti dijadualkan,“ katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah Dewan Undangan Negeri Limbahau.
Beliau berkata pelaksanaan projek LRA Kogopon II mencerminkan komitmen Gabungan Rakyat Sabah dalam memastikan isu bekalan air di negeri itu diselesaikan dengan bantuan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan.
Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS berkata ada pihak menyatakan mampu menyelesaikan masalah bekalan air dalam tempoh setahun adalah mustahil kerana masalah air adalah masalah legasi yang diwarisi sejak sekian lama.
Pembinaan LRA Kogopon II dilaksanakan pada Ogos 2023 dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dengan peruntukan kira-kira RM365 juta.
Projek ini akan meningkatkan kapasiti bekalan air di LRA Kogopon daripada 40 juta liter setahun kepada 80 juta liter setahun.
“Kita bekerjasama untuk pastikan projek ini dapat peruntukan melalui pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan yang diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,“ katanya.
Pada masa sama, kerajaan Sabah sedang melaksanakan pembinaan muka sauk kedua bagi LRA Skim Bekalan Air Kecemasan Limbahau di Kampung Kabang.
Langkah ini bertujuan mengurangkan gangguan bekalan air di daerah terbabit. – Bernama