Kapal kargo asing ditahan bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Undan

ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal kargo asing yang dikendalikan 11 lelaki warga China dan India kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan barat daya Pulau Undan semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata kapal kargo berkenaan ditahan pada 10.10 malam semalam selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh Sistem Pengawasan Maritim Lumut.

Kapal tersebut berada pada kedudukan kira-kira 3.9 batu nautika barat daya Pulau Undan ketika dikesan.

“Susulan maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Murni telah diarahkan ke lokasi bagi tindakan lanjut dan mendapati terdapat sembilan kru warga China dan dua kru warga India berusia antara 20 hingga 51 tahun dalam kapal berkenaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati kapal kargo tanpa muatan itu dalam perjalanan dari China ke Kuwait disyaki tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran.

Pelanggaran itu dilakukan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memerlukan kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Dua daripada 11 kru kapal berkenaan yang juga warga China dibawa ke Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.

Mereka akan menghadapi tindakan lanjut di bawah peruntukan undang-undang sedia ada berikutan kesalahan bersauh tanpa kebenaran tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *