GEORGE TOWN: Seorang jurujual syarikat swasta di Bukit Mertajam mengalami kerugian RM1.027 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan permainan dalam talian.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata lelaki berusia 34 tahun itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah hari ini.
Mangsa diperdaya sindiket tersebut melalui aplikasi Facebook setelah melihat iklan pelaburan permainan dalam talian sandsm2s5.club.
Mangsa berminat melabur setelah tertarik dengan tawaran keuntungan lumayan sebanyak 50% daripada wang yang dilaburkan dalam tempoh singkat.
Pada 3 September, mangsa melakukan transaksi pertama berjumlah RM300,000 ke satu akaun atas nama syarikat tempatan.
Mangsa kemudian melakukan tujuh transaksi tambahan ke lima akaun syarikat berjumlah RM727,000 antara 10 September hingga 9 Oktober.
Mangsa menyedari penipuan apabila pautan tersebut tidak dapat diakses dan nombor telefon tidak lagi berfungsi.
Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama