JASIN: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) terus mempergiat peranannya dalam usaha memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat menerusi penganjuran Program MADANI Rakyat.
Ketua Pengarah J-KOM Datuk Ismail Yusop berkata usaha itu diterjemahkan melalui pelbagai program lapangan termasuk PMR Komuniti Nelayan yang diadakan di Medan Ikan Bakar Serkam Pantai.
Beliau menyatakan program ini dilaksanakan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Kawasan Dewan Undangan Negeri Serkam serta Jabatan Perikanan Melaka.
“Melalui platform seperti ini, J-KOM berperanan sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan rakyat, memperkukuh kefahaman berasaskan fakta bukan persepsi,“ katanya.
Ismail menekankan program ini juga memberi peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan kerajaan secara terus.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri yang juga ADUN Serkam Datuk Zaidi Attan.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada siri jelajah PMR peringkat kebangsaan dengan kemuncak program pada 17 Oktober di Politeknik Merlimau.
Ismail berkata J-KOM komited memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan termasuk BUDI MADANI RON95 dapat difahami secara jelas oleh rakyat.
“Komunikasi strategik bersepadu antara agensi kerajaan turut memastikan mesej dan maklumat disampaikan kepada rakyat kekal konsisten dan tepat,“ katanya.
Pada majlis berkenaan, Zaidi turut menyampaikan beberapa Anugerah MADANI kepada individu dan kumpulan yang menunjukkan kecemerlangan dalam komuniti pesisir. – Bernama