SHAH ALAM: Peruntukan khas kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 mampu memberikan impak langsung terhadap usaha memperkasa ekosistem pendidikan bumiputera.
Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata ia antaranya mampu memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada pelajar luar bandar.
Beliau berkata peruntukan itu juga mampu mengukuhkan penyelidikan berimpak tinggi selain meningkatkan kesejahteraan mahasiswa menerusi pelbagai inisiatif bantuan dan kemudahan kampus.
“UiTM menyambut baik pengumuman peruntukan keseluruhan RM18.60 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang antara lain memberi tumpuan kepada pengukuhan pendidikan bumiputera melalui peruntukan khas RM6 bilion kepada MARA, Yayasan Peneraju dan UiTM,“ katanya.
Shahrin berkata universiti itu komited untuk memastikan setiap peruntukan yang disalurkan dimanfaatkan secara optimum bagi memperkukuh infrastruktur, kebajikan pelajar serta keupayaan akademik dan penyelidikan.
Beliau turut meluahkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kepercayaannya terhadap peranan universiti itu memacu kecemerlangan pendidikan dalam kalangan bumiputera.
“UiTM yakin peruntukan yang diterima akan memperkukuh keupayaan universiti dalam melaksanakan misi utamanya melahirkan graduan berilmu, beretika dan berdaya saing global,“ katanya.
Shahrin berkata UiTM akan terus memainkan peranan strategik sebagai institusi peneraju pembangunan modal insan bumiputera yang berdaya saing dan berintegriti tinggi.
Ini sejajar aspirasi Belanjawan MADANI membina masyarakat berilmu, sejahtera dan berdaya tahan.
“Sekali lagi, UiTM mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan sokongan padu kepada pendidikan tinggi bumiputera,“ katanya.
Beliau menegaskan UiTM berdiri teguh bersama kerajaan dalam menjayakan agenda pendidikan untuk semua rakyat Malaysia.
Pada Jumaat lepas, Anwar mengumumkan KPT menerima peningkatan peruntukan sebanyak 2.76% iaitu RM18.60 bilion berbanding tahun 2025 iaitu RM18.09 bilion. – Bernama