3,000 keluarga India di Sungai Buloh terima Bakul Kasih Deepavali

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,000 keluarga B40 komuniti India di Parlimen Sungai Buloh menerima sumbangan Bakul Kasih Deepavali Vanakam MADANI sempena sambutan Deepavali.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif itu sebahagian daripada program Vanakam MADANI hasil kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bersama Amanah Ikhtiar Malaysia.

Beliau berkata program ini bertujuan menyantuni rakyat serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat.

“Saya berharap bantuan ini serba sedikit dapat membantu komuniti India dengan membawa VELICHAM (cahaya) sempena perayaan Deepavali tahun ini,” katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu menegaskan program tersebut bukan sekadar bantuan kebajikan tetapi lambang kasih dan perpaduan.

Katanya ia juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan masyarakat menjelang Deepavali.

“Setiap Bakul Kasih ini membawa erti besar, bukan hanya mengisi keperluan dapur, tetapi mengisi hati dengan harapan dan semangat baru,” katanya.

Ramanan berkata Bakul Kasih itu mengandungi pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan tepung muruku.

Ia juga termasuk tepung denderam (athirasam), serbuk kari, kacang dhal, minyak bijan dan kordial pelbagai perisa.

Barangan makanan lain yang sinonim dengan persiapan Deepavali turut disediakan dalam bakul tersebut.

Selain pemberian Bakul Kasih, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh turut menganjurkan Jualan MADANI Koperasi.

Jualan ini diadakan di Dewan Undangan Negeri Kota Damansara dan Paya Jaras dengan diskaun sehingga 50%.

Ramanan menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan, agensi kerajaan dan pihak AIM yang bersama-sama menjayakan pengagihan Bakul Kasih Deepavali.

Inisiatif ini selaras dengan semangat Ekonomi MADANI yang diperkenalkan kerajaan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *