Wanita PKR sasar 30 peratus calon wanita dalam PRN Sabah

NIBONG TEBAL: Wanita PKR telah mengemukakan senarai nama calon termasuk muka baharu kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk dipertimbangkan bagi bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 akan datang.

Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata calon wanita yang diketengahkan kali ini mempunyai pengalaman luas, latar belakang kukuh serta hubungan rapat dengan masyarakat setempat.

Beliau menegaskan semua calon yang dipilih mendapat mandat dan sokongan parti serta berpotensi untuk menang dalam pilihan raya negeri tersebut.

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan menyatakan Wanita PKR menyasarkan sebanyak 30 peratus calon dalam kalangan wanita dipilih untuk bertanding pada PRN berkenaan.

Beliau yakin calon-calon ini telah bekerja keras dan banyak menyumbang kepada komuniti serta layak diketengahkan sebagai calon.

Seluruh jentera Wanita PKR kini berada dalam fasa akhir persiapan menjelang penamaan calon bagi memastikan kemenangan calon parti.

Jentera Wanita PKR sedang diperkukuh dan akan digerakkan di semua kerusi yang telah dikenal pasti untuk memberi komitmen sepenuhnya kepada calon-calon parti.

Dewan Undangan Negeri Sabah telah dibubarkan pada 6 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Oktober ini bagi membincangkan tarikh penting dan perkara lain berkaitan PRN tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *