SERI ISKANDAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk terus membersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan kegiatan kartel.
Beliau mengumumkan kejayaan penguatkuasaan tegas yang berjaya mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pencapaian itu membuktikan ketegasan kerajaan dalam memastikan tiada pihak terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Kita berjaya merampas wang yang dicuri dan diseludup melalui kegiatan jenayah berjumlah RM15.5 bilion, ini baru dua tahun.”
“Itu pun kerana saya tegas dan menegaskan kepada semua agensi penguat kuasa bahawa tiada kompromi terhadap rasuah, penyeludupan, sindiket dan kartel.”
Beliau menegaskan bahawa kegiatan tersebut mencuri daripada rakyat dan perlu dihapuskan.
“Dalam beberapa tahun yang saya ada ini, saya mahu, Insya-Allah, membersihkan kekusutan yang berlaku.”
“Apa pun yang orang kata tidak menggugat saya, saya anggap itu adalah tanggungjawab kita,” katanya semasa program Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Anwar turut menyampaikan syarahan awam bertajuk ‘Universiti Sebagai Aset Strategik: Merencana Masa Depan Malaysia melalui Bakat, Teknologi dan Transformasi’ pada majlis itu.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. – Bernama