Rawatan awal penting elak komplikasi serius akibat influenza

PUTRAJAYA: Rawatan awal penting bagi mengelakkan komplikasi serius akibat jangkitan influenza, terutamanya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit kronik.

Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap jangkitan tersebut, khususnya semasa musim peningkatan kes.

Secara umumnya, influenza boleh pulih tanpa rawatan khusus menurut kenyataan kementerian itu.

Walau bagaimanapun individu yang mengalami gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan atau keletihan dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran terutama bagi kanak-kanak dan individu berisiko tinggi.

KKM turut menggalakkan orang ramai mengamalkan etika batuk yang betul dan menjaga kebersihan tangan dengan kerap.

Orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan berada di tempat sesak jika bergejala serta memakai pelitup muka sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan sebagai langkah pencegahan dan perlindungan kepada orang lain.

Kementerian itu turut memaklumkan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang penularan jangkitan Influenza.

Mengenai kes seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dari Samarahan, Sarawak yang meninggal dunia pada 8 Oktober lepas di Hospital Umum Sarawak, KKM memaklumkan hasil siasatan awal mendapati punca kematian adalah radang otak yang boleh disebabkan oleh pelbagai jenis virus.

Pelbagai ujian makmal telah dijalankan bagi menentukan punca kematian menurut kenyataan itu.

Antara keputusan makmal yang didapati positif adalah Influenza A, namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan lanjut oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

Siasatan awal mendapati pesakit mula mengalami demam panas pada 5 Oktober lepas dan telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta keesokan hari.

Dalam perjalanan pulang dari klinik, pesakit telah mengalami sawan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Oleh kerana keadaan kes yang kritikal, beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak.

Bagaimanapun, pesakit tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 8 Oktober.

KKM mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga arwah menurut kenyataan itu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *