ALOR SETAR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) berharap kenaikan insentif pembajakan kepada RM160 sehektar serta insentif penuaian RM50 sehektar yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 dapat disegerakan.
Pengerusi PeSAWAH Abdul Rashid Yob berkata pelaksanaan insentif itu amat dinantikan oleh para pesawah yang telah lama menanggung beban kenaikan kos operasi penanaman padi.
Beliau berkata PeSAWAH juga berharap agar peruntukan sekitar RM2.62 bilion untuk pelbagai subsidi dan bantuan kepada pesawah dapat diperincikan bagi memastikan golongan berkenaan menerima manfaat secara langsung.
Abdul Rashid menyatakan kenaikan insentif sering disertai dengan kenaikan harga input dan perkhidmatan menyebabkan keuntungan bersih pesawah tidak banyak berubah.
Beliau menegaskan industri padi memerlukan perubahan struktur yang menyeluruh khususnya dalam mekanisme penentuan harga padi dan beras supaya lebih adil dan telus kepada pesawah.
PeSAWAH bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi merealisasikan reformasi struktur industri padi dan beras demi menjamin kelestarian sektor pertanian serta kedaulatan makanan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 mengumumkan Kerajaan MADANI menaikkan kadar insentif pembajakan dan insentif racun masing-masing kepada RM160 dan RM300 sehektar semusim.
Anwar berkata kerajaan juga memperkenalkan insentif baharu iaitu Insentif Penuaian Padi sebanyak RM50 sehektar semusim bagi menampung penggunaan diesel untuk jentuai.
Perdana Menteri berkata dianggarkan setiap pesawah menerima bantuan kira-kira RM4,300 sehektar berbanding RM3,790 sehektar bagi setiap musim. – Bernama