KPM galak pemakaian penutup muka di sekolah bendung influenza

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan menggalakkan pemakaian penutup muka di semua sekolah bagi membendung penularan penyakit berjangkit seperti Influenza.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM telah menyelaraskan garis panduan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia yang merangkumi langkah pencegahan kesihatan, keselamatan dan kebersihan warga sekolah.

Beliau menegaskan KPM memantau sepenuhnya gejala ini dan telah mengingatkan semua negeri untuk melaksanakan langkah-langkah ditetapkan di bawah garis panduan sedia ada.

“Garis panduan ini berpandukan pedoman KKM dan kita telah mengeluarkan peringatan agar sekolah sentiasa memantau situasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penempatan Semula Penduduk Ladang Byram.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menyatakan terdapat beberapa kes jangkitan influenza dikesan di sekolah namun keadaan masih terkawal.

Katanya, KPM turut menyeru semua pentadbir sekolah agar sentiasa berwaspada dan memastikan pematuhan SOP bagi membendung penularan wabak.

“Kita akan terus memantau keadaan anak-anak dan guru, kerana kita sedar komuniti sekolah amat besar.”

Mengulas kemungkinan penutupan sekolah sekiranya kes influenza meningkat, beliau menjelaskan keputusan hanya dibuat selepas semua langkah pencegahan dipatuhi sepenuhnya.

“Berdasarkan SOP KPM, penutupan sekolah hanya akan dilakukan selepas semua langkah pencegahan dilaksanakan bagi memastikan penularan jangkitan dapat dikawal.” – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *