Kerajaan galak keluarga muda rancang jaminan kewangan anak melalui insurans

KUALA LUMPUR: Usaha berterusan kerajaan menggalakkan keterangkuman kewangan dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan insurans hayat melalui lanjutan pelepasan cukai dan duti setem dapat menggalakkan ibu bapa merancang awal jaminan kewangan anak-anak mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia Mark O’Dell berkata membeli insurans hayat untuk kanak-kanak pada usia muda secara amnya lebih mampu milik dan memastikan perlindungan berterusan sehingga dewasa tanpa mengambil kira keadaan kesihatan pada masa depan.

Beliau menyatakan insentif ini juga akan meningkatkan kadar penembusan insurans hayat yang kini sebanyak 45% bermakna hanya empat daripada 10 rakyat Malaysia mempunyai perlindungan insurans hayat.

Pembayar cukai kini menikmati pelepasan cukai gabungan sehingga RM4,000 untuk polisi perubatan dan pendidikan anak sebagai pelengkap penting kepada lanjutan pelepasan cukai insurans hayat.

O’Dell mengulas pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Beliau menyambut baik langkah kerajaan mengecualikan duti setem untuk Perlindungan Tenang dan produk insurans premium rendah sehingga 2028.

Langkah ini akan terus menjadikan perlindungan insurans lebih mudah diakses dan mampu milik terutamanya untuk komuniti B40.

Inisiatif Perlindungan Tenang yang diperkenalkan pada 2017 dirangka untuk menggalakkan rakyat Malaysia terutamanya belia dan keluarga muda mendapat perlindungan insurans asas.

O’Dell berkata sokongan berterusan daripada kerajaan memainkan peranan penting dalam memperkasakan kumpulan B40 untuk mengambil langkah pertama ke arah jaminan kewangan.

Industri insurans hayat terus komited untuk menyokong aspirasi kerajaan bagi memperkukuh rangka kerja perlindungan sosial negara.

Industri memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat melalui perlindungan dan simpanan jangka panjang.

Dengan perancangan yang proaktif dan insentif cukai yang sesuai pihak swasta dan rakyat dapat digalakkan membina ekosistem perlindungan sosial yang mampan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *