Kelantan harap projek infrastruktur Belanjawan 2026 dilaksana ikut jadual

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap pelaksanaan projek-projek infrastruktur utama yang menjadi keutamaan rakyat dapat dijalankan mengikut jadual seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata antara projek baharu yang menjadi tumpuan ialah naik taraf jalan sedia ada kepada jalan berkembar empat lorong di Rantau Panjang serta naik taraf landasan kereta api Pasir Mas-Rantau Panjang.

Beberapa projek penting lain turut diumumkan termasuk naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan projek jalan utama Kubang Kerian-Bachok.

Sistem Saliran Bandar Baru Tunjong dan projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau juga antara inisiatif yang diumumkan untuk negeri ini.

“Turut memberi manfaat kepada negeri ini ialah projek Loji Rawatan Air Machang dan pelaksanaan Program Non-Revenue Water,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menekankan bahawa pelbagai inisiatif lain akan memacu kemakmuran rakyat di Kelantan.

Kerajaan negeri turut berharap lebih banyak projek baharu dalam sektor pertanian dan pelancongan diberi perhatian di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Kedua-dua sektor pertanian dan pelancongan mempunyai potensi besar untuk menjana pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan.

Projek-projek utama seperti pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dan projek tebatan banjir diharap dapat dilaksanakan dengan teratur.

Beliau menegaskan pentingnya projek yang telah diluluskan tetapi masih belum dimulakan dalam RMK terdahulu dilaksanakan mengikut jadual.

“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan peruntukan yang diumumkan kepada Kelantan bagi memperkukuh kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.”

Kejayaan pelaksanaan projek-projek ini secara cekap dan berkesan akan memperkukuh asas pembangunan negeri.

Pelaksanaan yang berkesan juga turut memberi kesan langsung terhadap peningkatan taraf hidup rakyat Kelantan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *