Imigresen tahan 24 pendatang tanpa izin dalam serbuan Ulu Klang

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan 24 pendatang tanpa izin dalam serbuan di sebuah rumah kedai tiga tingkat yang diubah suai menjadi bilik-bilik kecil di Ulu Klang.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan dilakukan pada 12.15 tengah malam dengan mereka ditahan terdiri daripada 13 lelaki dan 11 wanita.

Mereka terdiri daripada 18 warga Indonesia, seorang dari Bangladesh dan lima dari Nepal dengan kesalahan dilakukan ialah tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah.

Semua ditahan dibawa ke JIM Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi menurut Wan Mohammed Saupee.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada permit sah dan permit tamat tempoh.

Bernama yang berada di lokasi serbuan mendapati rumah kedai itu diubah suai kepada bilik kecil untuk disewakan kepada warga asing dan tempatan pada kadar antara 200 ringgit hingga 400 ringgit sebulan.

Ketika serbuan terdapat unit dilihat tidak berpenghuni kerana dikunci dari luar untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Setelah dibuka terdapat lima lelaki dengan tiga daripadanya memiliki pas kerja tamat tempoh dalam bilik tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *