Fadillah gesa optimumkan peruntukan Belanjawan 2026 untuk rakyat

KUCHING: Semua peruntukan dalam Belanjawan 2026 perlu dioptimumkan bagi memastikan ia benar-benar mencapai matlamat terutamanya dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof menekankan kepentingan sinergi antara semua agensi di bawah Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri bagi mencapai matlamat tersebut.

Beliau menegaskan bahawa segala projek dan program dalam Belanjawan 2026 perlu dilaksanakan secara berkesan mengikut tempoh, skop kerja dan bajet yang telah ditetapkan.

“Sebab itu pemantauan perlu baik bagi memastikan duit diperuntukkan dapat dibelanjakan,” katanya pada sidang media mengenai Belanjawan 2026 di sini.

Fadillah menyatakan kebimbangan mengenai peruntukan yang tidak dibelanjakan sepenuhnya yang boleh merugikan matlamat dan tujuan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ semalam.

Belanjawan tersebut memperuntukkan keseluruhan RM470 bilion dengan tumpuan memacu pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan kekayaan negara dapat dinikmati secara saksama oleh semua golongan masyarakat.

Ia meliputi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus Persekutuan dan RM81 bilion perbelanjaan pembangunan Persekutuan.

Belanjawan 2026 juga termasuk RM30 bilion pelaburan berkaitan kerajaan, RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan.

Belanjawan ini merupakan belanjawan keempat yang dibentangkan Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Ia menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *