Belanjawan 2026 seimbang keperluan nasional dan pembangunan negeri

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 disifatkan mempunyai keseimbangan dalam memenuhi keperluan nasional untuk menangani cabaran global semasa tanpa mengabaikan kepentingan pembangunan di negeri-negeri.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata belanjawan ini membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan pembangunan bersifat inklusif dan seimbang di seluruh negara.

Beliau menekankan keperluan rakyat dalam aspek infrastruktur asas, pendidikan, keusahawanan, kemudahan sosial dan kebajikan masyarakat luar bandar termasuk komuniti Orang Asli.

Wan Rosdy menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan Persekutuan atas perhatian besar diberikan kepada negeri Pahang.

“Kerajaan negeri amat menghargai sokongan berterusan kerajaan Persekutuan, dan kami akan memastikan semua projek dirancang akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,“ katanya.

Antara projek utama diumumkan khusus untuk Pahang ialah naik taraf Lebuh Raya Kuantan–Segamat di Rompin dan pembinaan jambatan konkrit di Maran.

Projek lain termasuk pemajuan Kampung Bongsu di Temerloh, pembinaan Klinik Kesihatan di Pos Lenjang, Lipis serta pembinaan sekolah baharu dan pembaikan sekolah di beberapa daerah.

Turut diberikan tumpuan ialah membina jalan kampung di kawasan Orang Asli dan menggantikan paip usang.

Kemudahan untuk peniaga pasar malam di Jerantut dan program bimbingan keusahawanan kepada banduan di Penjara Penor juga disediakan.

Pembinaan rumah keluarga anggota tentera dan kuarters imigresen turut dimasukkan dalam peruntukan belanjawan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata belanjawan keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI itu akan meletakkan Malaysia dalam hala tuju yang tepat.

Beliau berkata belanjawan ini akan mempercepat kemajuan ekonomi di samping mengukuhkan sosioekonomi rakyat.

“Pada peringkat negeri Selangor, kami menerima dengan amat positif pengiktirafan Selangor Aero Park (SAP) bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB),“ katanya.

Ini bertujuan memposisikan Malaysia sebagai pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) logistik dan kargo serantau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan kepada RM66.2 bilion.

Peruntukan pendidikan tahun lepas ialah RM64.2 bilion dengan pembinaan sembilan sekolah baharu di Selangor termasuk SK Alam Suria dan SK Puchong Permai.

Pejabat Ketua Menteri Melaka menyifatkan inisiatif pelancongan diumumkan dalam Belanjawan 2026 akan membuka peluang ekonomi baharu kepada pemain industri.

Ini khususnya menjelang penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang dijangka memacu industri pelancongan negeri.

“Sebagai negeri pelancongan, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyambut baik peruntukan melebihi RM700 juta,“ menurut kenyataan itu.

Inisiatif pelancongan termasuk pelepasan cukai hingga RM1,000 kepada rakyat yang melancong dalam negara untuk merangsang industri pelancongan domestik.

Kerajaan negeri juga menyambut baik pelbagai inisiatif lain diumumkan termasuk projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di Melaka.

Pelaksanaan projek-projek ini akan diberikan penelitian secara inklusif dalam penyediaan Bajet Negeri Melaka 2026 pada November nanti.

Antara projek melibatkan Melaka termasuk pembinaan jalan baharu dari Jalan Masjid Tanah–Kuala Linggi ke Telok Gong.

Projek lain ialah naik taraf jalan Sungai Udang ke Masjid Tanah dan naik taraf Muzium Samudera Fasa 1 di Jalan Quayside.

Pembinaan semula bangunan sekolah dan asrama di SMK Ghafar Baba dan SMK Tinggi Perempuan Melaka juga dimasukkan dalam peruntukan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ di Dewan Rakyat.

Belanjawan 2026 mempunyai peruntukan berjumlah RM419.2 bilion dengan RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus.

Baki RM81 bilion diperuntukkan sebagai perbelanjaan pembangunan untuk projek-projek infrastruktur dan pembangunan negara.

Ini merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 yang akan memandu hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun akan datang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *