Belanjawan 2026 peruntuk RM21.7 bilion modenkan ATM

SUNGAI PETANI: Peruntukan RM21.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan dalam Belanjawan 2026 akan memberi fokus kepada usaha memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali gus menjayakan matlamat pasukan keselamatan dalam memelihara kedaulatan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan itu meningkat 2.92% berbanding tahun ini selari dengan usaha memastikan kesiapsiagaan ATM menghadapi pelbagai cabaran sama ada tradisional atau bukan tradisional.

Beliau menyatakan ini selari hasil daripada Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan yang menekankan penambahbaikan aset-aset ATM yang banyak berasaskan teknologi baharu selain berhadapan pelbagai cabaran termasuklah di Laut Cina Selatan.

Mohamed Khaled turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perhatian terhadap kesejahteraan anggota ATM serta pengiktirafan terhadap sumbangan penting mereka.

Sebanyak RM800 juta diperuntukkan bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters kediaman anggota ATM meningkat berbanding RM600 juta tahun ini.

Beliau berkata pihaknya bersyukur kerana perkara ini diiktiraf kerajaan dengan penyediaan dan penyelenggaraan kediaman anggota sangat penting untuk kesejahteraan mereka.

Bagi usaha pemodenan aset pertahanan kementerian akan menerima 18 pesawat tempur ringan FA-50 dari Korea Aerospace Industries bermula awal 2027 yang akan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan Pahang.

Pembinaan rumah bagi anggota di pangkalan itu amat wajar memandangkan Perdana Menteri mengumumkan pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Pangkalan Udara Kuantan dengan peruntukan RM500 juta.

Peruntukan keseluruhan RM21.7 bilion juga merangkumi penyelenggaraan dan perolehan aset pertahanan baharu termasuk RM6 bilion untuk Medium Short dan Very Short Range Air Defence.

Perolehan aset baharu turut melibatkan dua Multi Role Support Ship dan 10 kenderaan Pasukan Batalion Malaysia. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *