Belanjawan 2026 angkat PMKS jadi peneraju ekonomi serantau

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyatakan komitmen penuh untuk melaksanakan program dan inisiatif Belanjawan 2026 bagi memastikan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus berkembang serta kekal sebagai penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara.

KUSKOP menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai inklusif kerana hampir semua kategori usahawan termasuk PMKS, koperasi, perusahaan sosial, usahawan francais dan usahawan informal bakal menerima manfaat.

Golongan tumpuan turut merangkumi usahawan bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak, wanita, B40 dan anak muda.

KUSKOP merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana menyediakan peruntukan tertinggi kepada kementerian ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Peruntukan sebanyak RM1.015 bilion pada 2026 menunjukkan pertambahan sebanyak RM200.3 juta atau 24.6 peratus berbanding RM815.13 juta bagi 2025.

Pemantauan akan diberi tumpuan khas melalui Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Nilai keseluruhan RM50 bilion kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan diperuntukkan kepada PMKS di bawah Belanjawan 2026.

Peruntukan ini lebih besar daripada Belanjawan 2025 menunjukkan komitmen besar Perdana Menteri dalam mengangkat PMKS menjadi sebahagian daripada peneraju ekonomi serantau.

Ia selari dengan usaha menyokong pelaksanaan tahun pertama Rancangan Malaysia Ketiga Belas terutama bagi meningkatkan penskalaan PMKS.

Antara insentif yang dapat dimanfaatkan ialah RM20 juta disediakan untuk menambah tapak dan ruang niaga Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.

SME Bank menawarkan pembiayaan khusus kepada PMKS halal dengan dana berjumlah RM100 juta.

Lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro disediakan di TEKUN Nasional dan juga Bank Simpanan Nasional.

Sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai dana pembiayaan untuk menyokong perusahaan badan-badan koperasi seluruh negara.

Program Jaguh Serantau SME Bank menyediakan pinjaman RM200 juta kepada PKS Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport.

Amanah Ikhtiar Malaysia disediakan RM230 juta untuk terus menawarkan pembiayaan dan menjadikan dana AIM yang tersedia berjumlah RM2.9 bilion.

Bank Rakyat, SME Bank, BSN dan MARA menyediakan pembiayaan RM270 juta bagi menyokong usahawan PMKS wanita.

Insentif lain termasuk RM12 juta melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera di bawah SME Corp bagi latihan dan bantuan perniagaan.

RM9 juta diperuntukkan kepada Perbadanan Nasional Bhd untuk memperkukuh pembangunan industri francais.

KUSKOP yakin Belanjawan 2026 akan dapat membangunkan sosioekonomi negara melalui strategi pelaksanaan yang berkesan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *