Bantuan SARA RM100 bawa keceriaan kepada golongan memerlukan

KUALA LUMPUR: Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas yang diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2026 membawa keceriaan kepada golongan memerlukan.

Seorang buruh kasar dari Sabah, Jamin Japar, 51, berkata bantuan itu mencukupi untuk membeli barang keperluan asas untuk kegunaan keluarganya.

“Saya rasa cukup saja untuk kami sekeluarga membeli beras, minyak, tepung dan keperluan lain,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut mengharapkan bantuan tersebut akan berlanjutan pada masa hadapan untuk terus membantu keluarga mereka.

Seorang suri rumah Norlinda Md Nor, 49, pula meluahkan rasa syukur kerana bantuan itu dapat membantunya membuat persiapan menjelang Ramadan.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan sebab bagi bantuan untuk memudahkan persiapan untuk menyambut bulan puasa nanti,” katanya.

Seorang pembantu jurutera, Kah Cun, 24, berharap kerajaan dapat memperbanyakkan jenis barangan yang boleh dibeli menggunakan bantuan itu.

“Bantuan ini bagus sebab dapat sebelum Tahun Baru Cina, boleh beli barang keperluan,” katanya.

Beliau menambah bahawa lebih banyak jenis barangan yang boleh dibeli menggunakan bantuan tersebut akan memberikan lebih banyak manfaat kepada penerima.

Seorang pelajar Pravind Muralidass, 23, berkata walaupun ada yang mempertikaikan bantuan itu, namun jumlah berkenaan mampu membantu membeli barangan keperluannya selama sebulan.

“Pada saya, bantuan ini sangat membantu, khususnya sebagai seorang pelajar latihan industri, saya mempunyai banyak perkara yang perlu ditanggung,” katanya.

Beliau berharap inisiatif ini dapat diteruskan pada setiap tahun untuk membantu golongan muda yang tinggal jauh daripada ibu bapa.

Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Maria Madelina Kiri, 23, pula berasa lega dan teruja kerana SARA RM100 dapat diguna pakai di kedai-kedai runcit di kawasan pedalaman.

“Bantuan SARA RM100 ini mungkin kelihatan sedikit pada mata orang lain tapi ada yang melihat jumlah ini cukup untuk membeli sekampit beras,” tambahnya.

Beliau menekankan bahawa bantuan ini juga dapat membantu dalam persiapan perayaan yang bakal mendatang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *