KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye yang membantu mempermudah urusan membawa sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition – Thousand Madleens to Gaza keluar dari Israel.
Beliau menyatakan kesyukuran sembilan wira dan wirawati Malaysia telah selamat tiba di Istanbul, Turkiye menerusi hantaran di Facebook.
Anwar menegaskan jentera kerajaan di bawah kendalian Kementerian Luar di Istanbul akan memastikan kelancaran proses membawa mereka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Kementerian Luar telah mengesahkan kesemua mereka telah dipindahkan keluar dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan tiba di Istanbul pada 2.30 petang waktu tempatan.
Misi kemanusiaan itu melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara yang menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad.
Kapal-kapal tersebut dipintas tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada Rabu lepas sebelum ditunda ke Pelabuhan Ashdod.
Semua aktivis kemudiannya dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel sebelum dibebaskan.
Lapan rakyat Malaysia berada di atas kapal Conscience termasuk Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad bersama aktivis antarabangsa lain.