KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan lebih 700 juta ringgit bagi merancakkan dan mempergiatkan promosi serta aktiviti pelancongan menerusi Belanjawan 2026.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu merangkumi 500 juta ringgit bagi menyokong pelaksanaan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sebanyak 60 juta ringgit diperuntukkan bagi Dana Galakan Promosi, Pemasaran dan Penganjuran Acara Pelancongan dan Kebudayaan.
Kerajaan turut memperuntukkan 50 juta ringgit bagi membantu penggiat seni dan warisan termasuk pengusaha kraf, batik, dan tenunan.
Sebanyak 20 juta ringgit diperuntukkan bagi mempergiat promosi pelancongan kesihatan melalui Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia.
Kerajaan bertekad menarik 47 juta pelawat dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak 329 bilion ringgit.
Anwar berkata sebanyak 25 juta ringgit diperuntukkan bagi menambah baik kemudahan pelancongan termasuk memulihara tapak-tapak UNESCO.
Kerajaan turut menyediakan geran padanan berjumlah 50 juta ringgit bagi menggalakkan lebih banyak penerbangan antarabangsa dan carter ke Malaysia.
Malaysia Airports Holdings Berhad berjaya menarik 10 syarikat penerbangan antarabangsa termasuk British Airways, Hong Kong Express dan Jiangxi Air.
Pulau Langkawi terus kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong dengan pembangunan produk geopelancongan baharu. – Bernama