KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 akan memperkukuh ekosistem eksport dan menyokong penerokaan pasaran baharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad sedia menjamin sehingga 70 peratus pembiayaan syarikat pertengahan berorientasi eksport.
Nilai jaminan tersebut boleh mencecah sehingga lima billion ringgit khusus untuk syarikat yang mengembangkan perniagaan ke pasaran baharu.
“Geran Pembangunan Pasaran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia menyediakan 60 juta ringgit bagi memudah cara perusahaan mikro, kecil dan sederhana mengeksport produk ciptaan Malaysia,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Geran tersebut akan membantu PMKS memasuki pasaran sedia ada dan pasaran baharu termasuk Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah.
Anwar turut mengumumkan EXIM Bank akan menyediakan pinjaman mudah untuk membantu syarikat yang terkesan akibat ketegangan tarif perdagangan global.
Dana sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan bagi program pinjaman tersebut untuk meringankan beban pengeksport.
Susulan rasionalisasi pejabat kerajaan di luar negeri, Program Jaringan Strategik Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan akan digerakkan dengan peruntukan 10 juta ringgit.
Program ini akan memberi tumpuan terutamanya di pasaran baharu yang mempunyai potensi tinggi untuk berkembang.
Langkah-langkah ini diharap dapat merangsang pertumbuhan eksport negara dalam persekitaran perdagangan global yang semakin mencabar. – Bernama