SHAH ALAM: Seorang warga emas terpaksa menanggung kerugian lebih RM5 juta selepas menjadi mangsa penipuan telefon yang mendakwa dirinya terlibat dalam kes jenayah.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata mangsa yang merupakan pesara syarikat swasta berusia 73 tahun pertama kali menerima panggilan pada bulan Mei daripada pihak yang mengaku sebagai National Anti Financial Crime Centre (NFCC) Putrajaya.
Beliau berkata panggilan lelaki warga tempatan itu kemudiannya disambung kepada seorang suspek lain yang mengaku sebagai pegawai kanan polis daripada Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak.
Suspek tersebut membuat dakwaan sama kepada mangsa dan mengatakan dia perlu mengistiharkan harta dan simpanan miliknya.
Pada sekitar bulan Jun 2025 mangsa diarahkan membuka empat akaun bank berbeza iaitu Affin Bank Alliance Bank AmBank dan Bank Simpanan Nasional.
Setelah itu mangsa diarahkan untuk memasukkan wang simpanan mangsa ke dalam semua akaun tersebut.
Mangsa seterusnya diarahkan untuk memasukkan semua kad ATM milik mangsa ke dalam satu sampul surat dan meninggalkan sampul surat tersebut di padang permainan di USJ 22/1.
Mangsa juga turut diarahkan memberikan maklumat perbankan kepada suspek.
Shazeli berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah beliau memaklumkan perkara tersebut kepada anaknya.
Mangsa diberitahu bahawa ia adalah penipuan dengan mengalami kerugian dengan jumlah keseluruhan RM5,996,586.51.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama