SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mencadangkan sebahagian daripada kutipan cukai penjualan produk rokok elektronik (vape) disalurkan kepada semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata langkah itu penting bagi memastikan hasil cukai terbabit digunakan untuk mengurus dan menangani kesan negatif penjualan vape.
Beliau menegaskan agihan ini akan melancarkan tindakan penguatkuasaan dan pendidikan awam lebih menyeluruh pada peringkat akar umbi.
“Sebagai contoh, kerajaan negeri dan PBT perlu sumber yang mencukupi untuk menjalankan operasi bersepadu penguatkuasaan ke atas premis yang menjual vape secara haram, terutamanya kepada remaja dan pelajar sekolah serta melaksanakan program advokasi dan kesedaran komuniti mengenai bahaya penggunaan vape,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jamaliah menambah bahawa dana tersebut juga boleh dimanfaatkan dengan penyediaan sokongan kepada institusi pendidikan, komuniti dan PBT dalam memantau dan mencegah penjualan vape di kawasan larangan.
Beliau turut menyatakan dana itu boleh digunakan untuk menyediakan rawatan pemulihan bagi mereka yang ketagihan nikotin, terutamanya golongan muda.
Jamaliah berkata tanpa agihan sumber yang sewajarnya kepada kerajaan negeri dan PBT, usaha penguatkuasaan hanya akan tertumpu pada peringkat pusat sekali gus menyukarkan pelaksanaan menyeluruh.
Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan mekanisme kolaboratif antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam isu pengawalan vape.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata KKM mencadangkan supaya kadar cukai ke atas cecair rokok elektronik atau vape dinaikkan sebanyak 10 kali ganda, daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter (ml).
Beliau berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi menyelaraskan kadar cukai produk vape dengan produk tembakau konvensional. – Bernama