Pelekat tulisan Hebrew di kenderaan tular, pemilik dakwa minat tulisan asing

MELAKA: Seorang pemilik kenderaan pacuan empat roda yang tular kerana pelekat bertulisan Hebrew menjelaskan ia dibuat atas minat terhadap tulisan berkenaan.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki berusia 59 tahun itu merupakan pesara kerajaan.

Beliau mendakwa pelekat Hebrew bermaksud ‘Malaysia Rumahku’ telah ditampal pada kenderaan Isuzu miliknya sejak 2012.

Pesara itu menafikan menyokong Israel dan menyatakan pelekat itu tidak pernah menimbulkan isu sebelum ini.

Dia membuat laporan di Balai Polis Air Kuning Selatan, Gemencheh kira-kira 8 malam pada Selasa.

Laporan dibuat selepas video kenderaannya tular di platform media sosial ‘Thread’ dan menerima reaksi negatif netizen.

Tulisan Hebrew itu didakwa diolah daripada ayat asal ‘Israel Rumahku’.

Lelaki berkenaan mendakwa tidak mempunyai mesej untuk disampaikan kepada Israel.

Dia mengaku seorang yang patriotik serta peminat pelbagai jenis tulisan asing.

Antara tulisan asing yang diminati termasuk tulisan Rusia, Greek dan Hebrew.

Pelekat itu ditempah di sebuah kedai di Selangor pada 2012.

Kenderaan itu juga kerap digunakan oleh adik lelaki berkenaan.

Polis akan mendapatkan bantuan pakar bahasa untuk memastikan maksud sebenar frasa berkenaan.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 504(b) Kanun Keseksaan.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Setakat ini tiada arahan kepada lelaki itu untuk menanggalkan pelekat berkenaan.

Media semalam melaporkan polis sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap kenderaan berkenaan.

Kenderaan itu didakwa menampal pelekat bertulisan Hebrew membawa maksud ‘Malaysia adalah Rumah Kita’.

Ada juga laporan yang menyatakan maksud tulisan itu sebagai ‘Malaysia di Tangan Kami’. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *