SHAH ALAM: Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi akan menawarkan biasiswa pendidikan dalam bidang kejuruteraan rangkaian dan radio kepada lima rakyat Palestin untuk belajar di Malaysia.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif biasiswa pendidikan itu memberi keutamaan kepada golongan muda dari Gaza, Ramallah, Tebing Barat, Nablus atau wilayah lain di Palestin yang berminat dalam bidang kejuruteraan rangkaian atau radio.
“Ini merupakan satu daripada usaha Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ke arah pembangunan semula Gaza, selain membangunkan Palestin yang lebih baik.
“Kita percaya pendidikan dalam bidang komunikasi dan teknologi satu bentuk pelaburan jangka panjang terhadap pembangunan semula Palestin yang lebih terangkum dari segi komunikasi dalam negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Redly Pos Malaysia International sempena sambutan Hari Pos Sedunia 2025 di Pusat Mel Nasional di sini hari ini.
Fahmi berkata perbincangan awal telah diadakan dengan Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur bagi meneliti syarat-syarat kemasukan dan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Ditanya bila inisiatif itu boleh dilaksanakan, beliau berkata pihaknya masih menunggu maklum balas lanjut selain proses kemasukan ke institusi pendidikan yang bergantung kepada jadual akademik atau semester pengajian.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pihak kedutaan Palestin turut mencadangkan agar Kementerian Komunikasi dan MCMC membantu membangunkan kelas pendidikan dalam talian bagi pelajar Palestin, sebagaimana usaha yang dilaksanakan melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional di negara ini.
Beliau berkata cadangan itu sedang diteliti dan pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa pihak lain untuk menyediakan kelas dalam talian bagi anak-anak di Gaza dan wilayah Palestin lain.
“Ini supaya walaupun tidak mempunyai sekolah secara fizikal, sekiranya ada peranti dan capaian Internet, mereka tetap boleh meneruskan pembelajaran,” katanya.
Fahmi berkata inisiatif itu adalah antara sumbangan Malaysia ke arah pembangunan semula Gaza dan usaha membangunkan Palestin yang lebih sejahtera melalui pendidikan serta teknologi komunikasi.
Semalam, beliau dilaporkan berkata peluang melanjutkan pelajaran itu bertujuan membantu rakyat Palestin membina semula rangkaian komunikasi mereka yang telah musnah akibat bedilan rejim Zionis Israel terutama di wilayah Gaza. – Bernama