Kempen Tabung Pahlawan 2025-2026 sasar kutipan RM3 juta

KUALA LUMPUR: Kempen Tabung Pahlawan bagi sesi 2025-2026 telah berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM1.095 juta setakat ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau yakin sasaran kutipan RM3 juta pada sesi kali ini mampu dicapai dengan kerjasama pelbagai pihak.

Beliau menyeru agar kempen ini dijadikan gerakan menyemai sifat keprihatinan rakyat terhadap kebajikan perwira negara.

Kempen itu yang kutipan sumbangannya dimulakan setiap 1 Ogos sehingga 31 Julai telah dilancarkan oleh Penaung KTP Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah menyeru rakyat Malaysia menyumbang kepada KTP sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan warga ATM dan veteran.

Beliau menegaskan keamanan serta kedaulatan yang dinikmati hari ini bukanlah percuma.

Sumbangan orang ramai sama ada besar atau kecil adalah antara cara untuk membalas jasa mereka yang telah berjuang demi negara.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk veteran agar menjadi golongan yang produktif melalui inisiatif kerjaya kedua.

Kerjasama strategik dengan pelbagai pihak digalakkan bagi menyediakan latihan kemahiran teknikal dan peningkatan kemahiran veteran.

KTP 2024-2025 sebelum ini berjaya mengumpul lebih RM2.19 juta meningkat berbanding RM1.3 juta direkodkan pada sesi sebelumnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *