JUPEM jangka banjir pantai lapan kali tahun depan di Kuala Kedah, Perlis

KANGAR: Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menjangkakan fenomena banjir pantai akibat air pasang perbani akan berlaku sehingga lapan kali tahun depan di kawasan rendah berhampiran laut di Kuala Kedah, Kedah dan Kuala Perlis, Perlis.

Pengarah Ukur Seksyen (Infrastruktur Rujukan Tegak) Bahagian Ukur Geodetik JUPEM Muhammad Kenidi Awang Aziz berkata jangkaan itu berdasarkan bacaan daripada Stesen Tolok Air Pasang Surut (STAPS) Langkawi.

Beliau menjelaskan jika bacaan paras air di STAPS Langkawi melebihi 170 sentimeter dari aras purata laut, ia berpotensi menyebabkan berlakunya banjir pantai di kawasan sekitar Kuala Kedah dan Kuala Perlis, termasuk beberapa lokasi berhampiran seperti Kampung Warna Warni, Kuala Perlis.

“Bagaimanapun, ramalan lapan kali itu bukan bermaksud lapan hari berturut-turut, sebaliknya dijangka berlaku secara berkala sepanjang tahun,” katanya kepada pemberita di Kuala Perlis.

Muhammad Kenidi menambah dalam sebulan, banjir pantai mungkin berlaku sekali, dua kali atau lebih bergantung kepada data semasa.

Sementara itu, beliau berkata JUPEM menyalurkan maklumat amaran awal berhubung potensi banjir pantai kepada orang ramai melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook, TikTok serta laman sesawang rasmi jabatan bagi membolehkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal.

“Penduduk setempat lazimnya sudah maklum mengenai potensi berlakunya banjir pantai dan akan mengambil tindakan awal seperti mengangkat barangan serta mengalihkan kenderaan ke kawasan lebih tinggi dengan merujuk kepada maklumat yang disalurkan JUPEM atau Pusat Hidrografi Nasional (PHN),” katanya.

Tinjauan Bernama di Kampung Warna Warni mendapati fenomena air pasang perbani berlaku sekitar pukul 12 tengah malam tadi dan mencapai kemuncaknya kira-kira pukul 2 pagi, menyebabkan rumah penduduk dinaiki air hingga paras buku lali sebelum surut semula pada pukul 3 pagi.

Seorang penduduk kampung berkenaan, Noor Fairus Omar, 29, berkata beliau dan keluarganya sudah terbiasa dengan fenomena air pasang dan sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir, termasuk memindahkan barangan berharga ke tempat selamat lebih awal.

“Memang kami di Kampung Warna Warni sudah bersedia setiap kali air pasang berlaku,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *