Gencatan senjata buka peluang GSF hantar bantuan ke Gaza melalui darat

KUALA NERUS: Pengumuman gencatan senjata dan pembebasan tawanan di Semenanjung Gaza memberi sinar harapan baharu kepada peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) untuk menyambung usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.

Peserta misi Muhammad Abdullah atau Ustaz Mad Kecik berkata perkembangan itu memberikannya keyakinan bahawa peluang selepas ini akan lebih cerah untuk memasuki Gaza melalui laluan darat selepas sebelum ini dihalang rejim Israel.

Beliau menyatakan kesediaan semua 23 peserta misi untuk pergi lagi membantu rakyat Palestin melalui jalan darat jika jalan laut masih dihalang.

Muhammad tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud bersama seorang lagi aktivis asal Terengganu Mohd Asmawi Mukhtar dan disambut lebih 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga serta orang ramai.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Israel dan Hamas bersetuju memeterai fasa pertama perjanjian damai yang membolehkan pembebasan tebusan Israel.

Muhammad turut menzahirkan harapan agar sembilan aktivis Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza yang ditahan rejim Zionis semalam segera dibebaskan dan pulang dengan selamat.

Beliau menegaskan pentingnya terus bercerita tentang derita Gaza untuk tidak memberi kemenangan kepada musuh atas nama kemanusiaan agama dan maruah bangsa.

Mohd Asmawi yang terharu dengan sambutan rakyat Terengganu berkata beliau tetap berazam untuk meneruskan hasratnya membantu penduduk Gaza meskipun mengharungi pelbagai kesusahan sejak pelayaran sehingga berada dalam tahanan tentera Israel.

Beliau mendedahkan Ustaz Mad sentiasa memberi kekuatan dan doa melalui kumpulan WhatsApp yang menjadi penguat semangat ketika hampir berputus asa. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *