Enam kempen kesihatan persekitaran peringkat nasional diperkasakan

BANGI: Jabatan Kerajaan Tempatan akan memperkasakan penganjuran enam kempen kesihatan persekitaran peringkat nasional sebagai pemacu perubahan tingkah laku.

Kempen yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan itu ialah Kempen Premis Makanan Bersih, Kempen Pasar Awam Bersih, Kempen Tandas Awam Bersih “BMW”, Kempen Membasmi Infestasi Tikus, Kempen Cegah Wabak Denggi, dan Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kempen ini merupakan pelaksanaan, penjajaran program dan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan 4.

Beliau menekankan bahawa ia bukan sekadar kempen semata-mata tetapi pembudayaan standard operasi piawai mengikut garis panduan yang telah disediakan.

Nga berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 bertemakan “Persekitaran Sejahtera, Masyarakat Harmoni, Negara MADANI” di sini hari ini.

Pelaksanaan kempen ini telah disokong dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM860,000 daripada peruntukan JKT dan Agenda Nasional Malaysia Sihat.

Peruntukan ini akan ditumpukan kepada intervensi berimpak segera, meningkatkan kesedaran dan libat urus komuniti, pemantauan berkala serta komunikasi risiko yang berkesan.

Selain itu, RM100 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan melalui inisiatif Belanjawan 2025 untuk projek pembinaan gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam.

Nga menegaskan tindakan yang menyeluruh dan berasaskan data diperlukan dalam usaha pencegahan wabak, kawalan roden, kebersihan pasar, tandas serta pengurusan haiwan terbiar.

KPKT melalui Pihak Berkuasa Negeri dan PBT komited untuk memastikan persekitaran hidup rakyat berada pada standard yang bersih, selamat serta bebas daripada risiko penyakit.

SHKPS 2025 hari ini turut mengiktiraf kecemerlangan PBT dalam kempen kesihatan persekitaran KPKT 2025 dan PBT Cemerlang Penarafan Bintang Audit Teknikal.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Majlis Bandaraya Alor Setar serta Majlis Bandaraya Johor Bahru antara yang diberi penarafan lima bintang.

Mayor DBKK Datuk Seri Dr Sabin Samitah merakamkan penghargaan kepada KPKT atas pengiktirafan sebagai PBT Cemerlang dalam PBAT 2025.

Beliau berkata DBKK memastikan sasaran yang telah ditetapkan KPKT itu dipenuhi ataupun dicapai meliputi aset-aset yang dibeli hasil daripada penyaluran dana. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *