KUALA LUMPUR: Harapan peminat tempatan untuk menyaksikan aksi beberapa bintang utama Uruguay tidak kesampaian apabila lima nama besar skuad itu tidak disenaraikan bagi dua perlawanan persahabatan antarabangsa di Malaysia.
Pengurus Uruguay Marcelo Bielsa mengesahkan keputusan untuk tidak menyenaraikan mereka akibat faktor kecederaan dan kesihatan serta sebagai sebahagian daripada perancangan menilai lebih ramai pemain menjelang Piala Dunia FIFA 2026.
Beliau menekankan bahawa pemain yang disenaraikan perlu mendapat peluang beraksi bersama pasukan menjelang Piala Dunia pada Jun 2026.
Lima bintang Uruguay yang tidak akan beraksi di sini ialah Jose Maria Gimenez dari Atletico Madrid, Darwin Nunez dari Al-Hilal, Federico Valverde dari Real Madrid, Ronald Araujo dari FC Barcelona dan Manuel Ugarte dari Manchester United.
Bielsa menjangkakan pasukan Republik Dominica di bawah kendalian Marcelo Neveleff akan memberikan tentangan sengit kerana mempunyai beberapa pemain hebat.
Pemain tengah Uruguay Rodrigo Zalazar mengakui cuaca panas dan lembap di Malaysia merupakan cabaran sebenar walaupun mereka sedang menyesuaikan diri.
Zalazar menegaskan semua pemain Uruguay sangat teruja untuk beraksi di Malaysia dan amat menantikan detik berkenaan.
Neveleff merakamkan penghargaan kepada penganjur dan menyifatkan ia penghormatan untuk berdepan lawan bertaraf dunia seperti Uruguay.
Beliau memuji kualiti barisan pemain Uruguay termasuk di bangku simpanan serta faktor Bielsa sebagai nama yang disegani ramai jurulatih.
Uruguay akan menamatkan jelajah mereka dengan berdepan Uzbekistan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 13 Oktober.
Uruguay kini menduduki tangga ke-15 dunia manakala Republik Dominica berada di kedudukan ke-142 dan Uzbekistan di tempat ke-54. – Bernama