Bekas juruteknik telekomunikasi ditahan curi komponen pencawang

KUALA NERANG: Polis menahan seorang bekas juruteknik syarikat telekomunikasi yang disyaki mencuri komponen pencawang di dua lokasi berbeza di Kampung Musa, Mukim Pedu dekat sini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap Supt Abdull Razak Othman berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di rumahnya di Pendang pada 12.30 tengah malam 1 Oktober lepas.

Beliau menyatakan tangkapan itu dibuat susulan dua laporan polis oleh syarikat telekomunikasi terbabit berkaitan kes kecurian komponen komunikasi.

Kes kecurian tersebut melibatkan kerugian kira-kira RM112,000 yang disyaki berlaku sekitar 5 petang 30 September lepas.

Abdull Razak berkata polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan suspek dalam melakukan jenayah itu di rumahnya.

Ujian saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine serta mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

Kegiatan jenayah itu dipercayai dilakukan sejak dua tahun lepas oleh suspek terbabit.

Modus operandi suspek adalah dengan menjadikan pencawang yang jauh dari pandangan sebagai sasaran utama.

Jenayah biasanya dibuat pada awal pagi untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Polis kemudian menahan dua lagi suspek berusia 31 dan 51 tahun yang disyaki menjadi pembeli barangan dipercayai dicuri.

Penahanan kedua-dua suspek itu dibuat di dua lokasi berasingan di Alor Setar.

Dengan penahanan kesemua suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan 21 kes kecurian komponen pencawang telekomunikasi.

Kes-kes tersebut berlaku di daerah Padang Terap, Yan, Pendang dan Kota Setar di Kedah.

Keseluruhan jenayah itu membabitkan kerugian lebih RM600,000 kepada syarikat telekomunikasi.

Kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah untuk tampil menghubungi balai polis berhampiran. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *