Ahli Circle 19 pindah sekolah selepas insiden Zara Qairina

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu beberapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar yang merupakan ahli kumpulan ‘Circle-19’ telah berpindah sekolah selepas insiden yang menimpa pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.

Peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina, berkata saksi yang juga pengikut ‘Circle-19’ dan beberapa rakannya dalam kumpulan itu masih belajar di sekolah berkenaan namun tidak lagi tinggal di asrama sejak September lepas.

Berkongsi keterangan saksi kanak-kanak kesepuluh itu, beliau berkata menurut saksi, ‘Circle-19’ membawa maksud kumpulan tersebut mempunyai 19 ahli dan mereka adalah kawan rapat.

Azhier Farhan berkata saksi juga memaklumkan bahawa dia dan Zara Qairina adalah kenalan biasa kerana tinggal di blok asrama yang sama namun di bilik bersebelahan.

Saksi menyatakan dia berjumpa Zara Qairina pada malam 15 Julai kerana rakan sebilik saksi datang berjumpa dengannya memaklumkan dompet mengandungi duit dan kad pengenalan hilang, dan rakan sebilik saksi mengesyaki Zara Qairina mengambil barang tersebut.

Azhier Farhan berkata saksi turut memaklumkan mahkamah bahawa Zara Qairina mengetahui tentang kehilangan barang pelajar berkenaan apabila ditanya namun menafikan telah mengambilnya, dan saksi juga memberitahu bahawa dia tidak memarahi Zara Qairina.

Beliau berkata saksi juga memaklumkan bahawa ketika dia ingin mengarahkan Zara Qairina pulang ke biliknya, seorang rakan masuk dan bertanya kepada remaja tersebut sama ada dia mengambil barang milik rakannya itu.

Menurut saksi, dia berkata ‘kau mengaku saja kalau kau yang ambil, kami tidak marah’ namun Zara Qairina tidak mengaku.

Saksi juga berkata dia melihat reaksi Zara Qairina adalah normal dan menjawab seperti biasa.

Peguam itu berkata saksi menjelaskan bahawa dia tidak melihat Zara Qairina mengalami gangguan emosi dan tidak perasan sama ada remaja tersebut menangis selepas berjumpa dengan rakan-rakannya kerana dia tidak masuk campur dalam urusan mereka.

Sementara itu, peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara Qairina, pula berkata saksi tersebut memaklumkan bahawa dia tidur di bilik lain bersama beberapa rakannya pada malam tersebut.

Beliau memaklumkan bahawa menurut saksi, aktiviti tidur di bilik lain dalam asrama bukanlah satu kesalahan selagi mereka meminta izin daripada ketua bilik dan memberitahu di mana mereka akan tidur.

Saksi kemudian bergerak keluar ke bilik lain untuk tidur sekitar pukul 10 malam.

Saksi berkata dia tidak keluar dari bilik antara 12 tengah malam hingga 3 pagi.

Menurut saksi, dia dikejutkan oleh kawannya, dan saksi diberitahu mengenai Zara Qairina yang terbaring di bawah.

Saksi berkata dia terkejut melihat keadaan Zara Qairina dari tangga aras tiga.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung 13 Okt depan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *