SHAH ALAM: Sebanyak 4,342 kenderaan perdagangan telah dikenakan tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan sepanjang Op Khas Gempur Perdagangan di seluruh Selangor bermula 1 September hingga semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor Azrin Borhan berkata sejumlah 13,805 kesalahan telah direkodkan dengan lesen kenderaan motor tamat tempoh merupakan kesalahan tertinggi sebanyak 2,857 kes.
Kesalahan kedua tertinggi ialah tiada lesen memandu dengan 2,647 kesalahan manakala ketiga ialah tiada perlindungan insurans dengan 1,854 kesalahan.
Beliau berkata keseluruhannya sebanyak 60,112 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi itu dengan 20,217 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan.
Azrin menyatakan operasi itu dilaksanakan bagi memastikan pemandu dan pengendali kenderaan perdagangan mematuhi sepenuhnya peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 berserta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Sementara itu operasi khas bas kilang yang dilakukan pada 6 hingga 10 pagi semalam di seluruh Selangor menyaksikan sebanyak 75 bas diperiksa dan 17 daripadanya disita.
Sebanyak 186 notis telah dikeluarkan dalam operasi bas kilang dengan 143 kesalahan dilakukan antaranya membabitkan penggunaan pemandu warga asing seramai 11 orang.
Operasi khas itu dilaksanakan bagi memastikan tahap pematuhan pemandu dan pengusaha bas kilang terhadap peraturan serta undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Hasil pemeriksaan mendapati masih terdapat pemandu dan pengusaha yang gagal mematuhi syarat lesen memandu antaranya menggunakan pemandu warga asing permit serta aspek teknikal dan keselamatan kenderaan. – Bernama