KUALA LUMPUR: Isu kedudukan fiskal negara berikutan pelaksanaan pelbagai skim bantuan tunai dan penstrukturan subsidi menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengemukakan soalan kepada Menteri Kewangan mengenai risiko negara menghadapi defisit fiskal yang lebih besar.
Sementara itu, Dr Halimah Ali (PH-Kapar) meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah konkrit kerajaan dalam menangani kes buli di sekolah dan institusi pendidikan.
Beliau juga ingin mengetahui mekanisme pencegahan, pengawasan, intervensi awal serta tindakan tegas terhadap pelaku dan pihak pentadbiran yang cuai.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) pula meminta Menteri Digital menyatakan langkah strategik bagi memastikan keselamatan siber negara terjamin.
Beliau menekankan kepentingan menghadapi peningkatan kes scam yang menggunakan teknologi Weaponised AI.
Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan sistem yang diguna pakai di stesen minyak seluruh negara.
Beliau juga bertanyakan langkah yang diambil untuk melengkapkan perkhidmatan di stesen minyak selaras langkah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar petrol RON95.
Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) pula bertanyakan Menteri Pendidikan sama ada kerajaan bersedia melonggarkan syarat menghadiri kursus NPQEL.
Tujuan kelonggaran syarat itu adalah untuk mengatasi masalah kekurangan jawatan pengetua di Sekolah Menengah Bantuan Kerajaan.
Selesai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan sesi penggulungan menteri-menteri bagi usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025.
Turut dijadualkan ialah pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025.
Pembentangan juga meliputi RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 dan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember ini. – Bernama