Semua agensi siap siaga hadapi Monsun Timur Laut bulan depan – NADMA

KOTA BHARU: Semua agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kini berada pada tahap siap siaga penuh menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.

Kesiapsiagaan itu melibatkan penempatan awal aset, peralatan dan kemudahan logistik di kawasan berisiko banjir.

Pengarah Bahagian Mitigasi Agensi Pengurusan Bencana Negara Ahmad Shahrir Md Nazri berkata kesiapsiagaan itu digerakkan susulan ramalan awal Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Berdasarkan pengalaman banjir-banjir yang lepas, NADMA telah memperkemas penyelarasan menerusi jawatankuasa bencana negeri,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana di sini.

Beliau berkata semua agensi terlibat kini sudah bergerak termasuk penempatan pam bergerak di kawasan panas dan penyediaan peruntukan khas bagi penambahan aset.

NADMA menerusi Pusat Kawalan Bencana Negara telah menyalurkan arahan kepada semua negeri agar melaksanakan mesyuarat penyelarasan awal.

“Peralatan dan kemudahan semua telah disiapkan,“ katanya.

“Sekiranya perlu, pusat pemindahan sementara akan diaktifkan segera.”

Antara langkah utama yang diberi penekanan tahun ini ialah penambahbaikan mekanisme penyaluran bantuan dan penyelarasan logistik.

“Kita sedar bahawa setiap kali bencana, isu logistik seperti peralatan jauh dari kawasan terjejas sering timbul,“ katanya.

“Jadi kali ini, penempatan aset dibuat lebih dekat dan mudah dicapai oleh agensi pelaksana.”

Jabatan Pengairan dan Saliran kini mempunyai lebih 200 pam bergerak dan bakal menerima tambahan 41 unit baharu.

“Pam bergerak ini akan digerakkan mengikut keperluan semasa, bukan dipasang kekal di satu lokasi,“ katanya.

“Ia penting untuk mempercepat proses pengaliran semula air selepas hujan berhenti.”

Sebanyak 1,912 kawasan panas atau hotspot banjir telah dikenal pasti di seluruh negara.

Hotspot berkenaan melibatkan Sabah sebanyak 318 lokasi, Sarawak 236, Kedah 221, Pahang 172, Kelantan 26 dan Terengganu 17.

Beliau menyeru semua pihak termasuk media agar menyalurkan maklumat yang sahih dan tidak menimbulkan kekeliruan semasa musim banjir nanti.

“Kita berharap saluran komunikasi rasmi NADMA dan NDCC digunakan sepenuhnya untuk memastikan maklumat bencana disampaikan dengan tepat kepada rakyat,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *