MELAKA: Polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa menampal pelekat tulisan Hebrew di belakang kenderaan itu.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata siasatan dijalankan susulan satu laporan polis yang dibuat pegawai khas agama kepada Ketua Menteri Melaka pada 3.32 petang semalam.
Laporan itu dibuat selepas melihat sebuah video berkaitan tindakan itu di media sosial Thread.
Beliau berkata video berdurasi 14 saat yang tular semalam di media sosial mengundang pelbagai reaksi termasuk kebimbangan dan kemarahan orang ramai.
Video tersebut menunjukkan pelekat bertulisan Hebrew yang membawa maksud ‘Malaysia adalah Rumah Kita’ atau ‘Malaysia di Tangan Kami’.
“Berdasarkan semakan dijalankan, kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu itu didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 504(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan telus demi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat sentiasa terjamin.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penyebaran video tersebut. – Bernama