Penolong pegawai MAINS maut dihempap pokok tumbang di Kuala Pilah

KUALA PILAH: Seorang penolong pegawai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Daerah Jempol maut selepas kereta yang dinaikinya dihempap pokok tumbang.

Kejadian berlaku di Jalan Sawah Lebar-Sungkak semalam kira-kira jam 11.20 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Muhammad Mustafah Hussin berkata mangsa Muhammad Nawawi Husin berusia 38 tahun sedang dalam perjalanan dari Jempol menuju ke Seremban.

Beliau menyatakan pokok tumbang itu menghempap kereta Perodua Viva yang dinaiki mangsa ketika cuaca dalam keadaan baik.

Pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kejadian parah di beberapa bahagian anggota badan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan siasatan lanjut masih diteruskan.

MAINS menyampaikan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Muhammad Nawawi melalui laman Facebook rasmi mereka. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *